Cuti Datang Lagi...
Cuti sekolah adalah saat yang paling dinantikan oleh semua yang bergelar murid sekolah, tak kurang juga guru-guru yang mengajar di sekolah. Cuti pertengahan penggal akan bermula pada 28 Mei 2011 hingga 12 Jun 2011. Kalau dikira-kira, lama juga sekolah bercuti. Sudah pasti semua orang sudah merancang percutian bersama keluarga. Walau apa pun rancangan anda, SELAMAT BERCUTI saya ucapkan.
-Kepada Yang Bergelar Murid-
Perlu diingat, cuti sekolah bukanlah waktu 'honeymoon'. Untuk calon PMR dan SPM SMK Taman Sutera, diharapkan anda dapat mematuhi jadual kelas tambahan yang perlu anda hadiri. Ingatlah pengorbanan cikgu yang sanggup bertugas di waktu cuti untuk memberi ilmu kepada anda. Peperiksaan yang bakal anda hadapi semakin hari semakin hampir. Tolaklah cuti dan masa rehat anda, hitung semula berapa hari yang tinggal sebelum peperiksaan itu. Untuk yang lain, jangan lupa kerja rumah yang cikgu amanahkan. Ambillah sedikit masa cuti anda untuk belajar demi masa depan anda.
-Kepada Yang Bakal Bertukar Status-
Cuti sekolah adalah masa yang selalunya dipilih untuk mendirikan rumah tangga. Baik yang bergelar guru ataupun tidak, waktu cuti adalah waktu yang paling digemari untuk mengadakan majlis perkahwinan. Mungkin kerana mudah mengumpulkan saudara-mara yang jauh dan dekat. Mudah juga mendapatkan pertolongan daripada adik-adik dan saudara-mara kerana mereka sedang bercuti. Walau apa pun sebab yang diberi, semoga majlis yang dirancang berjalan lancar. SELAMAT PENGANTIN BARU saya ucapkan kepada guru-guru SMK Taman Sutera yang akan melangsungkan majlis perkahwinannya pada cuti sekolah nanti (Cik Norlia & Cik Nurul Syakiera). Tidak lupa juga yang baru mendirikan rumah tangga (Pn Nur Syaira). Semoga mahligai yang dibina penuh dengan keberkatan dan dilimpahi rahmat hingga akhir hayat kalian.
-Kepada Yang Perlu Bertugas Di Waktu Cuti-
Ikhlaskanlah hati dalam menjalankan tugas. Mungkin ada sesuatu yang menanti anda. Mungkin kesenangan, kebahagiaan atau apa sahaja yang menggembirakan. SELAMAT MENJALANKAN TUGAS.
- Kepada Yang Merancang Untuk 'Bercuti'-
Semoga percutian anda dipenuhi dengan kegembiraan. Perlu diingat, anda perlu sentiasa berhati-hati walau di mana anda berada (jangan lupa bawa ole-ole balik ke sekolah (",)). Paling penting, jangan lupa kembali ke sekolah semula.
SELAMAT BERCUTI UNTUK SEMUA.......
No comments:
Post a Comment